Jump to content


Tatasusila Membuat Posting

Salam sejahtera semua,

Pengumuman ini khas untuk semua ahli ITTutor.net, yang baru serta yang lama. Akhir-akhir ini, forum ini dan beberapa forum popular lain telah menerima influks posting yang banyak daripada ahli-ahli tetapi malangnya, hampir separuh daripadanya tidak dapat dikongsi bersama kerana ia boleh dikelaskan sebagai posting yang tiada makna, pendeknya, posting sampah. Matlamat tersirat ITTutor.net ini ialah hasil dari segi kualiti, bukannya dari segi kuantitatif, harap maklum. Posting yang banyak tetapi tidak dihargai tiada makna di sisi kebanyakan ahli-ahli di sini. Kebanyakan ahli-ahli di sini adalah berprofession dan masa dan komitmen mereka memberi nasihat-nasihat tidak boleh dinilaikan dengan duit, jadi elakkan daripada membuang masa mereka.

Untuk mereka yang tidak beberapa jelas tentang undang-undang umum ITTutor.net ini, di sini akan diperjelaskan beberapa panduan-panduan asas yang perlu difahami sekiranya anda ingin membuat pertanyaan atau jawapan balas di dalam forum ini.


[ Penamaan tajuk topik ]

Pastikan tajuk anda ringkas :
  • Implementasi SMP dalam Linux. Diskusi umum.
  • Masalah networking dalam OpenBSD.
  • Bagaimana nak setup wireless networking dalam FreeBSD?
Jangan buat begini :
  • Apa pasal jadi macam ni?
  • Tolong saya, tolong!
  • OS saya buat perangai.
Untuk penumpuan yang lebih ketara dan jelas, dalam kes-kes tertentu, kelaskan masalah dan pertanyaan anda mengikut klasifikasi OS. Dikembangkan contoh di atas :
  • Diskusi umum Linux : Implementasi SMP.
  • OpenBSD : Masalah networking.
  • FreeBSD : Bagaimana nak setup wireless networking?
Dengan cara ini, anda akan mendapat perhatian penuh daripada mereka-mereka yang berkemahiran dalam OS yang dipersoalkan tersebut dan InsyaAllah, mendapat penyelesaiannya.


[ Posting ]

Penegasan: Gunakan warna, jangan sesekali guna CAPS LOCK.

Kualiti posting: Ini bukan channel IRC. ITTutor.net adalah tempat berbincang, bukan untuk berborak. Posting one-liner, sebagai contoh,
  • "Betul tu mamat A"
  • "Haah, Saya pun sama!"
atau penggunaan icon sahaja seperti
  • smile.gif , laugh.gif , sad.gif
bukan sahaja amat-amat tidak digalakkan tetapi ia berpotensi menyakitkan hati orang. Kami tidak menghalang anda berkongsi pendapat tetapi ia boleh dilakukan secara diskrit. Tidak perlu beritahu satu dunia.

Penggunaan bahasa: Adalah lebih baik penggunaan bahasa Melayu yang betul dan jelas diberi keutamaan. Difahami bahawa ada perkataan boleh diringkaskan dan banyak digunakan dalam penulisan lain, contohnya dlm untuk 'dalam', utk 'untuk' tetapi ini tidak seharusnya menjadi kebiasaan, sebagai contoh:
  • "Blh x tlg prblm tenet kt umah sy, tq"
Elakkan dari menggunakan bahasa SMS dan sembang internet (chatting) ketika membuat dan membalas post. Perlu diingat tujuan utama ringkasan perkataan dalam SMS kerana bilangan aksara yang terhad (160 aksara) dalam sistem pesanan ringkas. Had tersebut tidak lagi menjadi masalah ketika berkomunikasi dalam forum. Contoh yang baik:
  • "Bolehkah sesiapa yang lebih arif menolong saya tentang masalah capaian internet di rumah? Terima kasih."
Dengan ini ahli forum lain dapat memahami dengan jelas permasalahan anda dan dapat memberikan pertolongan sewajarnya. Ini juga tidak bermakna bahasa lain diketepikan. Penggunaan bahasa Inggeris contohnya, harus digalakkan sebagai jalan mempelajari dan membaiki diri dalam berkomunikasi dalam bahasa kedua tersebut.

Penyediaan maklumat: Apabila anda ingin bertanya, sila pastikan anda menyediakan maklumat berkaitan sebanyak yang anda mampu. Ini dapat memudahkan orang lain yang ingin membantu anda. Mengambil contoh di atas, anda mungkin boleh membuat ayat seperti berikut:
  • "Bolehkah sesiapa yang lebih arif menolong saya tentang masalah capaian internet di rumah? Saya menggunakan Streamyx dengan modem ZXDSL 831 yang telah disediakan oleh pihak TMNet. Saya mengalami masalah ini sejak malam semalam. Saya tidak dapat mengenalpasti sebarang perbezaan daripada operasi biasa semasa sambungan internet berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat maklumat tambahan yang diperlukan sila nyatakan. Sekian terima kasih."
Anda juga amatlah digalakkan untuk berusaha mencari maklumat berkaitan terlebih dahulu sebelum bertanya. Anda boleh mencari menggunakan Google, Yahoo dan segala search engine yang ada di pasaran. Dengan berbuat sedemikian rupa, para ahli yang lain InsyaAllah akan lebih ringan tangan untuk membantu anda setelah melihat anda sendiri bersemangat dan telah berusaha sedaya-upaya untuk mencari penyelesaian.

Selain itu, anda amat-amatlah digalakkan untuk menggunakan fungsi carian yang terdapat pada forum ini (boleh dicapai melalui butang "Search", kedua dari kanan, di bahagian atas setiap page di dalam forum ini) terlebih dahulu bagi memastikan anda tidak bertanya soalan yang pernah ditanya sebelum ini (juga menunjukkan anda telah berusaha dan bukan terus bertanya dengan harapan disuap jawapan mentah-mentah kepada anda).

Keprihatinan: Jaga penulisan anda dan hargai pendapat setiap orang. Sekiranya anda sangat-sangat tidak bersetuju, gunakan kaedah yang lembut dan bersopan untuk membuktikan fakta-fakta anda. Janganlah anda sekiranya kritikal terhadap pendapatnya, terus dilemparkan kata-kata yang kurang manis atau diajak berperang (trolling), kami di sini dengan besar hatinya sudi menerima jemputan anda untuk diblacklistkan. Pokoknya, dalam apa-apa hal sekalipun, hormati pendapat orang lain. Dengan cara ini, kita akan dapat membentuk satu perbincangan yang intelektual dan selanjar dengan itu, sebuah komuniti yang sihat.


Untuk pengakhiran, suka saya bawa anda merenung sejenak. InsyaAllah, 20 tahun lagi, sekiranya ITTutor.net ini masih wujud, anak-anak anda berkemungkinan akan melihat apa yang anda tulis ketika ini. Jadi, kalau boleh, ketika membuat posting, gunakanlah ayat-ayat yang memperlihatkan kematangan kita sebagai seorang yang professional.

Wassalam.

__________________________________
Disclaimer: Tatasusila membuat posting akan diubah dari semasa ke semasa berdasarkan kesesuaian, tanpa sebarang notis. Sekiranya anda mempunyai sebarang cadangan pemindaan terhadap guideline ini, anda bolehlah menghantar PM kepada saya (Amry). Sumbangan anda amatlah dihargai.

Sumber panduan dipetik daripada :