Jump to content


- - - - -

Sejarah Perisian Sumber Terbuka


1 reply to this topic

#1 Guest_yacken99_*

  • Tetamu

Posted 25 June 2004 - 05:32 PM

QUOTE
Perisian komersial, sumber terbuka untungkan pengguna
Oleh Hizral Tazzif Hisham

PERTEMBUNGAN antara perisian komersial dan sumber terbuka (open source) kini semakin ketara berdasarkan senario antarabangsa dan tempatan apabila sebahagian besar kerajaan di seluruh dunia sudah mula menunjukkan minat tinggi untuk beralih kepada perisian sumber terbuka berbanding secara tradisionalnya menggunakan perisian komersial.

Keinginan kerajaan di seluruh dunia terutama dunia sedang membangun ialah mewujudkan industri perisian tempatan yang mampu berdaya saing, mempunyai kemampuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta mampu menyumbangkan pendapatan kepada negara.

Malah, aspek penting yang amat ditekankan ialah keselamatan dan kedaulatan negara. Ini kerana perisian yang dibeli tidak diketahui apakah perkara yang tertulis di dalam kod sumber asasnya. Apa yang dibimbangi ialah negara kuasa besar dunia menggunakan syarikat perisian secara rahsia untuk mengintip dan mencuri maklumat sensitif sesebuah negara tanpa disedari mereka.



Selama ini, industri perisian dunia hanya mempunyai beberapa syarikat gergasi multinasional yang menghasilkan perisian untuk pasaran dunia. Dengan adanya monopoli ini, dunia terpaksa tunduk kepada mereka, negara sedang membangun kehilangan kedaulatan kerana mereka terpaksa membeli perisian yang hanya menggunakan sebahagian fungsi saja tetapi terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

Mereka juga terpaksa membayar caj lesen yang mahal untuk terus menggunakan perisian berkenaan atau terpaksa menukar komputer peribadi mereka setiap tiga tahun sekali kerana teknologi yang digunakan menjadi usang.

Jadi apakah sebenarnya perisian sumber terbuka yang menyebabkan banyak syarikat perisian gergasi dunia berasa bimbang dengan kemunculan semulanya. Mimos Bhd (Mimos) memberikan definisi sumber terbuka berdasarkan 10 kriteria yang perlu dipatuhi iaitu:

1. Bebas Untuk Pengedaran Semula

Lesen berkenaan tidak boleh mengehadkan mana-mana pihak dari menjual atau memberi perisian berkenaan sebagai satu komponen pengedaran perisian lengkap yang mengandungi atur cara dari pelbagai sumber. Lesen ini tidak boleh digunakan bagi mendapatkan sebarang royalti atau lain-lain bayaran bagi mana-mana penjualan tertentu.

2. Kod Sumber

Sesuatu atur cara perlu disertakan bersama kod sumber, dan membenarkan pengedaran kod sumber bersama atur cara yang sudah dibangun. Bagi sesetengah produk yang tidak diedarkan bersama dengan kod sumber, pemberitahuan bagi mendapatkan kod sumber perlu dibuat sama ada tidak lebih dari kadar kos penghasilan semula yang berpatutan atau boleh dimuat turun melalui Internet tanpa sebarang bayaran.

Kod sumber mestilah dalam bentuk yang boleh diterima umum yang membolehkan pengaturcara membuat pindaan terhadapnya. Kod sumber yang sengaja berbentuk mengelirukan tidak dibenarkan. Bentuk pertengahan seperti output pra-pemprosesan atau penterjemahan juga tidak dibenarkan.

3. Sumber Kerja Asal

Lesen berkenaan mestilah membenarkan pengubahsuaian serta sumber kerja asal, dan perlu membenarkan ia diedar berdasarkan syarat yang sama dengan lesen perisian asal.

4. Integriti Pencipta Kod Sumber

Lesen itu boleh mengehadkan pengedaran kod sumber dalam bentuk pindaan saja hanya jika lesen berkenaan membenarkan pengedaran ‘fail tampung’ bersama kod sumber dengan tujuan meminda atur cara itu pada masa pembuatan.

Lesen itu perlu secara jelas membenarkan edaran perisian yang dibangunkan dari kod sumber yang sudah dipinda. Lesen berkenaan mungkin memerlukan sumber kerja asal untuk membawa nama atau versi yang berbeza daripada perisian asal.

5. Tiada Diskriminasi Terhadap Individu Atau Kumpulan

Lesen berkenaan tidak boleh mewujudkan diskriminasi terhadap mana-mana individu atau kumpulan tertentu.

6. Tiada Diskriminasi Terhadap Sesuatu Bidang Usaha

Lesen berkenaan tidak boleh menghalang sesiapa daripada menggunakan atur cara itu bagi sebarang usaha dalam bidang lain. Sebagai contoh, lesen tidak boleh melarang sesiapa menggunakan atur cara berkenaan dalam bidang perniagaan ataupun digunakan dalam kajian genetik.

7. Pengedaran Lesen

Hak yang dilampirkan kepada atur cara mestilah boleh diguna pakai semuanya oleh sesiapa yang menerima atur cara berkenaan tanpa perlu dikeluarkan lesen tambahan oleh pihak tertentu.

8. Lesen Tidak Boleh Dikhusus Kepada Suatu Produk

Hak yang dilampirkan kepada atur cara tidak boleh bergantung kepada keadaan atur cara yang sebahagian daripada pengedaran perisian tertentu.

Jika atur cara diambil daripada pengedaran terbabit dan digunakan atau diedarkan mengikut syarat lesen atur cara itu, semua pihak di mana pengedaran semula atur cara itu harus memiliki hak yang sama seperti yang dibenarkan kepada pengedaran atur cara yang asal.



9. Lesen Tidak Boleh Mengehadkan Perisian Yang Lain

Lesen tidak boleh meletakkan had kepada perisian lain yang diedarkan bersama perisian berlesen. Sebagai contoh, lesen berkenaan tidak boleh mendesak atur cara lain yang diedarkan pada saluran yang sama menjadi perisian sumber terbuka.

10. Lesen berkenaan mesti berbentuk bebas teknologi

Tiada peruntukan bagi lesen diikat pada mana-mana teknologi individu atau gaya sesuatu antara muka.

Sejarah perisian sumber terbuka juga panjang dan berliku. Bermula dengan International Business Machines (IBM) memperkenalkan komputer komersial pertama pada 1960-an, yang memiliki perisian sistem operasi yang disediakan secara percuma (ia boleh dikongsi bersama pengguna lain kerana ia disertakan bersama kod sumber terbuka yang boleh diubahsuai dan diperbaiki).

Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila penghujung 1960-an IBM tidak lagi membekalkan perisian berkenaan dan kemunculan model perisian komersial boleh dikesan pada pertengahan 1970-an. Gerakan perisian sumber terbuka sekarang diasaskan akibat kemunculan dua kumpulan utama yang mendukung pemberian perisian secara percuma di Amerika Syarikat.

Richard Stallman, bekas pengaturcara di Makmal Kepintaran Buatan MIT melancarkan Projek GNU dan Yayasan Perisian Percuma. Matlamat utamanya ialah membangunkan perisian sistem operasi secara percuma dan Stallman bermula dengan menyediakan perkakasan pengaturcara misalnya pembangun dan penyunting.

Satu pihak lain ialah Kumpulan Penyelidikan Komputer Sains daripada Universiti California di Berkeley untuk mempertingkatkan dan memperbaiki sistem Unix dan membangunkan banyak aplikasi yang dikenali sebagai BSD Unix.

Pada pertengahan 1990-an, kebanyakan projek perisian sumber terbuka menghasilkan perisian bermutu tinggi dan bermanfaat. Antara yang popular ialah Apache (popular sebagai pelayan WWW), Perl (digunakan di perpustakaan), XFree86 (dimanfaatkan untuk pelaksanaan X11 bagi komputer peribadi), GNOME dan KDE (kedua-duanya menyediakan set perpustakaan dan aplikasi secara konsisten untuk mesra guna PC).

Perisian paling terkemuka ialah Mozilla (projek perisian percuma yang dibiayai Netscape) untuk membangunkan pelayar bagi melayari WWW serta GNOME dan KDE kerana ia memberi peluang kepada pengguna bukan teknikal merasai pengalaman memanfaatkan PC.

Jika ditinjau gerakan sumber terbuka dan pelaksanaannya di seluruh dunia, terbukti dasar kerajaan China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Britain masing-masing menggalakkan pelaksanaan inisiatif sumber terbuka untuk perkembangan industri perisian masing-masing.

China misalnya, sebagai strategi perisian negara mensyaratkan sektor awam wajib menggunakan perisian tempatan dengan Linux adalah asas kepada pembangunan industri perisian tempatan. Langkah China itu didorong kerana matlamat negara berkenaan untuk membangunkan industri perisian tempatan dan juga keselamatan negara kerana bimbang kemungkinan berlaku kecurian data sensitif secara rahsia menerusi perisian yang diimport.

Bagi Amerika Syarikat pula, dasar diamalkan kerajaan ialah pilihan dibuat berdasarkan vendor perisian yang dapat memberikan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Lebih berpihak kepada penggunaan standard terbuka dan yang paling penting kerajaan dan orang ramai mendapat pulangan terbaik tanpa mengira sama ada ia sumber terbuka atau model komersial.

Untuk Taiwan, dasar kerajaan ialah menggalakkan penggunaan sumber terbuka kepada semua sektor hingga mencapai matlamat ia digunakan secara meluas. Ia juga memastikan pemain industri memberikan nilai tambah kepada industri perkhidmatan perisian sumber terbuka, pelbagai insentif dan menilai semula undang-undang sedia ada terutamanya membabitkan perisian sumber terbuka.

United Kingdom turut tidak terkecuali daripada melaksanakan dasar pengkomputeran apabila bercadang memanfaatkan kedua-dua perisian sumber terbuka dan model komersial berdasarkan nilai terbaik yang dapat ditawarkan dan tidak mahu terikat dengan mana-mana syarikat komputer.

Malaysia menerusi pelan rancangan sumber terbukanya yang sedang dirangka sekarang bercadang mewujudkan industri perisian yang berdaya maju dan berdaya saing. Untuk tujuan itu, sumber terbuka dilihat sebagai pilihan kepada model perisian komersial kerana ia membenarkan semua pihak berkongsi kod sumber asas (source code) untuk tujuan penambah baik perisian dihasilkan.

Bagaimanapun, penyokong model perisian komersial mempersoalkan perisian sumber terbuka yang walaupun bersifat percuma, sebenarnya tidak kerana pengguna terpaksa membayar perkhidmatan disediakan.

Masing-masing mengemukakan pendapat kelebihan dan kekurangan model perisian masing-masing sama ada komersial atau sumber terbuka. Persoalannya sekarang yang mana satu hendak dimanfaatkan? Model komersial atau sumber terbuka atau kedua-duanya.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia Sdn Bhd, Butt Wai Choong, berkata model perisian komersial yang ada sekarang sudah terbukti berkesan berbanding perisian terbuka serta syarikat perisian seperti Microsoft didorong secara tetap untuk terus melakukan inovasi dan sentiasa memastikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi kehendak pelanggan.

“Model perisian komersial adalah stabil, sentiasa diuji untuk memastikan hanya produk terbaik memasuki pasaran. Ia diuji dan sentiasa dikemas kini untuk dan segala kelemahan keselamatan diperbaiki serta beribu-ribu pembangun dan rakan Microsoft bersedia untuk membantu pengguna,” jelasnya.

Katanya, Microsoft memperuntukkan sekitar RM25.84 bilion untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan setiap tahun untuk meningkatkan mutu produk dan perkhidmatannya serta mengemukakan produk atau rumusan terbaru.

Pengurus Besar Sektor Awam Asia Pasifik Microsoft, Peter Moore, berkata model perisian komersial terbukti menjadi tulang belakang kepada perkembangan pesat industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia.

“Sejarah sudah membuktikan sejak 30 tahun lalu, antara 1970 hingga 2000, industri perisian Amerika Syarikat berkembang dengan amat pesat, iaitu 38 peratus setiap tahun. Menjelang 2000 jualan tahunan perisian pengguna di Amerika Syarikat melebihi RM380 bilion,” ujarnya.

Beliau berkata, industri perisian komersial amat penting dalam ekosistem perisian dunia kerana industri perisian komersial, pengguna, kerajaan dan minda intelektual saling berkaitan antara satu sama lain untuk memastikan kestabilannya.

“Dengan adanya industri perisian komersial, ia menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai, pendapatan yang diperoleh hasil jualan akan dapat dibelanjakan dan seterusnya merangsang ekonomi negara, kerajaan mendapat cukai dan syarikat perisian dapat terus menghasilkan perisian berdasarkan penyelidikan dan pembangunan dilakukan,” katanya.

Sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak boleh terus terikat kepada hanya satu model yang menyebabkan negara terpaksa terus bergantung kepada syarikat perisian gergasi untuk terus memastikan komputer atau pelayan yang dibeli terus beroperasi.

Sebaliknya, model perisian terbuka yang ada menawarkan pilihan kepada negara untuk menjadi pengeksport bukan lagi pengguna. Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan ialah menyediakan segala kemudahan untuk membangunkan keupayaan dan kemahiran rakyat tempatan dalam bidang perisian dan mewujudkan industri perisian yang berdaya saing.

Walaupun, jalannya masih jauh dan berliku, sejarah Amerika Syarikat perlu diteladani, mereka juga bermula daripada kosong sebelum mencapai tahap sekarang. Apa yang penting ialah iltizam dan keyakinan untuk berjaya, jika tidak kita selamanya adalah pengguna bukan pencetus teknologi.


ref: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednes...232954/Article/

#2 Guest_yacken99_*

  • Tetamu

Posted 25 June 2004 - 05:33 PM

erkk kalau boleh pindah topik ni ker kolum sistem operasi..mr moderator..silakan..:-)





1 user(s) are reading this topic

0 members, 1 guests, 0 anonymous users