Jump to content


Kosmologi, Astronomi, Sains dan Ketuhanan


  • You cannot reply to this topic
No replies to this topic

#1 faizal

    Pegawai Waran 2

  • Ahli
  • 462 posts
  • Kepakaran:IT
  • Freelance:Tidak

Posted 13 September 2010 - 12:27 PM

Posted Image

Oleh : Ramli Abdul Samad

PENGENALAN

Apa itu alam semesta? Alam semesta merupakan sebuah ruang yang amat luas dan di dalamnya terisi semua jirim dan tenaga yang terwujud. Manusia yang menghuni di planet bumi adalah antara komponen yang amat kecil dalam alam semesta. Alam semesta penuh dengan misteri dan manusia yang sama ada berpandukan sains dan agama sentiasa atau saling mencari atau membongkar rahasia alam semesta untuk memberi kepuasan intelektual dan spiritual yang alam semesta ini diatur oleh satu hukum yang dipercayai sama ada bersumber daripada satu kuasa ghaib mahupun daripada satu hukum atau undang-undang tabii yang mengikat semua yang terkandung dalam alam semesta ini.
Kini kita berada pada satu tahap yang amat menarik dalam kemajuan sains dan teknologi di mana penemuan-penemuan hebat sedang berlaku bukan saja dalam arena astronomi dan fizik malahan dalam banyak bidang sains yang lain. Saintis sebenarnya sedang berusaha untuk memahami segala-galanya mengenai dunia dan alam semesta sehingga ke peringkat akar umbinya. Persoalan-persoalan seperti quark, elektron, proton, neutron dan zarah-zarah asas yang lain telah dilontarkan. Sekarang saintis seperti Profesor Stephen Hawking telah mula mengutarakan pertanyaan seperti “ Kenapa semua zarah-zarah ini wujud, kenapa mereka memiliki ciri-ciri sedemikian dan adakah apa-apa tujuan kewujudan mereka ? Apakah gerangan tujuan kenapa Big Bang sepatutnya berlaku ? Sejak Big Bang berlaku sekitar 13 bilion tahun dahulu apakah nanti takdir masa depan alam semesta? Akan berkembang teruskah alam semesta untuk selama-lamanya atau perkembangannya akan satu hari kelak menemui titik nol dan apakah alam semesta akan satu hari nanti mula menguncup pula menuju ke titik zarah? Apa akan terjadi pada ketika itu? Adakah alam semesta akan kekal sebagai satu titik selama-lamanya atau akan disusuli pula dengan satu lagi peristiwa Big Bang kedua ? Maka tidak hairanlah ramai pengulas mengenai penyelidikan sains kini telah meluahkan komen-komen seperti “ Saintis sekarang seperti Profesor Stephen Hawking sudah berlagak seperti Tuhan ! “

Al-QURAN DAN ASTRONOMI
Bagi kalangan yang beragama seperti orang Islam mereka yakin bahawa Al-Quran itu ada memberi petunjuk akan perihal alam semesta. Misalnya dalam Al-Quran pada surah Al-Imran : 190,191 ada ayat yang membawa maksud
"sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi 'orang-orang berakal' iaitu orang-orang yang mengikut Allah baik mereka yang berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan juga mereka yang memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata : Ya Tuhan kami tidaklah Engkau menciptakan itu dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
Pada ayat di atas makna langit tidak lain melainkan satu ruang yang mengisikan alam semesta. Langit yang dulunya mungkin ditafsirkan sebagai ruang yang mengisi tata suria kita sudah tidak secocok lagi kerana tata suria kita merupakan sebahagian yang amat kecil jika dibandingkan dengan saiz alam semesta. Malahan bumi yang manusia menghuni saat ini boleh diibaratkan seperti sebuah zarah yang berada pada saiz bumi itu sendiri. Sementara keadaan langit yang bagaikan tergantung itu bererti baik secara tersirat mahupun tersurat bagaikan mesti ada sesuatu kuasa besar yang mengaturnya jika tidak akan terjadi pertempuran antara galaksi mahupun pentempiaran planet-planet di mana-mana di rentangan alam semesta kita.

PENDAPAT SAINTIFIK

Kalangan sains pula memahami perihal alam kosmos melalui penyelidikan dan tafsiran saintifik dari data yang diterima dari peralatan sains seperti dari teropong Hubble Space Telescope, Compton Gamma Ray Observatory dan Chandra X-ray Observatory dan pelbagai wahana seperti International Space Station yang telah membuat dan mengirim data-data saintifik. Pendeknya sains bererti mencari penjelasan yang tersirat dalam struktur logika alam tabii. Sebagai contoh teropong Hubble Space Telescope (HST) telah banyak memberi maklumat penting mengenai alam semesta seperti : -
* Kajian yang menyarankan adanya lohong hitam yang amat besar terhendap di dada galaksi. Lohong hitam adalah daripada bahan bintang yang telah mati di mana jisimnya begitu padat sehingga tiada satu bendapun termasuk cahaya dapat terlepas dari tarikan gravitinya. Konsep lohong hitam telah disuarakan beberapa dekad yang lalu.
* HST dapat merakam dengan sejelas-jelasnya pertembungan komet Shoemaker-Levy ke permukaan planet gas Musytari pada tahun 1994. Peristiwa itu merupakan satu pertembungan terus yang mana melibatkan sebuah planet yang dapat dirakam oleh manusia.
* HST juga membantu memberi maklumat yang alam semesta kita sedang berkembang dan bukan sebaliknya sedang mengecut seperti yang pernah dipercayai dulu. Fenomena adanya daya ‘anti-graviti’ yang mengisikan ruang vakum di angkasa lepas dikatakan telah menyumbang pada fenomena yang mengembangkan alam semesta kita. Susulan daripada fenomena itu konsep malar kosmologikal ( cosmological constant ) kian dibicarakan.
* HST juga memberi maklumat yang alam semesta ini mempunyai sekurang-kurangnya 120 bilion galaksi dan setiap galaksi mempunyai berbilion-bilion bintang ! HST juga dapat menaksirkan bahawa usia alam semesta dengan agak tepat sekitar berada dalam lingkungan 13-15 bilion tahun


PEMAHAMAN ALAM SEMESTA

Sekiranya kita mengimbas kembali bagaimana manusia di atas planet ini sejak di zaman purba dulu ( zaman batu ) beribu-ribu tahun yang lalu. Ketika itu sudah tentunya manusia telah terpegun dengan keindahan pada waktu malam dengan berkelip-kelipnya bintang. Mereka telah menanggapi sesuatu tentang alam semesta ketika itu. Mereka yang tiada pengetahuan astronomi saintifik menyangkakan bumilah pusat alam semesta sementara dengan kemajuan pengetahuan manusia seterusnya Copernicus telah menunjukkan yang matahari sebaliknya adalah pusat alam semesta. Sekarang kita tahu bahawa Copernicus pun tidak benar dengan andaiannya. Bumi cumalah seketul batu kecil yang menggelilingi sebuah bintang kerdil kuning bernama matahari. Matahari sebenarnya ialah sebutir bintang dan sebutir bintang adalah sebuah loji nuklear! Sistem Suria itu terletak di salah sebuah lengan berlingkar di penghujung galaksi Bima Sakti. Matahari kita merupakan salah sebuah bintang daripada bertrilion bintang di Bima Sakti dan berlokasi pada satu sudut di alam semesta di antara 100 bilion galaksi yang membentuk alam semesta! Satu pertanyaan yang sering dilontarkan“ Berapa banyak bintang semuanya di alam semesta ?” Jawapan yang tepat ialah “ Terdapat lebih bintang di alam semesta daripada semua jumlah pasir halus yang terdapat di semua pantai di atas bumi kita! “ Penemuan-penemuan astronomi terbaru yang diperolehi daripada teropong dan daripada para astronomi yang dalam bidang teori menunjukkan yang alam semesta yang kita kenali sehingga kini mungkin bukanlah alam semesta yang satu-satunya yang kita kenal pernah wujud. Ada kemungkinan wujudnya alam semesta selari yang wujud bersebelahan dengan alam semesta kita ! Malahan ada sesetengah kosmologis telah mencadangkan dan mempercayai bahawa terdapat sejumlah alam semesta selari yang dalam jumlah yang tidak terhingga ( infinite ) itu wujud di samping alam semesta yang kita kenali ! Dengan itu saintis telah menyarankan eksperimen yang mungkin dapat dibuat untuk manusia berkomunikasi dengan dunia alam semesta selari itu atau mengirim manusia terus ke alam itu melalui kaedah “teleport“ yakni satu kaedah yang mana manusia boleh ditukarkan menjadi tenaga dan ditukar semula menjadi manusia sebaik tiba di destinasi di alam semesta baru seperti yang kita lihat dalam cerita rekaan “Star Wars “
Mengikut sains alam kosmos atau alam semesta bermula dari satu ledakan gergasi yang digelar 'Big Bang'. Big Bang terjadi lebih kurang 13-15 bilion tahun yang lalu. Sejak itu bermulah antaranya proses pembentukan galaksi, bintang-bintang, lohong hitam, pembentukan sistem planet dan evolusi kimia, biologikal dan juga kehidupan yang kita kenali seperti kehidupan tumbuhan dan haiwan termasuk manusia yang menghuni di planet bumi.

PERBEZAAN PENDAPAT ANTARA SAINS DAN AGAMA

Sejak beberapa abad yang lalu sains mula berenggang dengan agama seakan-akan masing-masing cuba mengatasi antara satu sama lain. Terdapat dua kecenderungan yakni ada dua pola ekstrim. Adakalanya sains bersikap amat berani kerana beryakin sungguh untuk memecahkan segala misteri alam melalui siasatan empirik tanpa merujuk pada kearifan purba. Sementara itu pihak agama pula bermati-matian mempercayai bahawa kuasa spiritual yang tidak dapat diukur oleh sebarang alatan meter yakin yang mereka yang asyik dengan kehebatan teropong mahupun komputer tidak akan mendapat tempat di syurga. Golongan agama ini mahukan sebuah realiti yang melampaui dunia material. Namun di antara dua pola itu terdapat banyak yang masih percaya sains dan agama.
Bagi kalangan sains alam semesta diwujudkan dengan mempunyai tujuan tidak semestinya sama dengan tujuan yang ditafsirkan oleh orang yang beragama. Maknanya ada sebab kenapa manusia wujud di alam semesta. Agama itu bukanlah satu dongeng atau spekulasi metafizika. Agama itu sebenarnya berakar umbi dalam pertemuan dengan realiti termasuk pengalaman dengan wahyu. Namun pengalaman spiritual berada dalam alam subjektif yang tidak mungkin dikaji secara saintifik. Tetapi agama dan sains sama-sama muncul daripada kegiatan manusia yang sering mencari sebuah peraturan dalam dunia mahupun alam semesta. Apakah mungkin ada pelbagai penjelasan bagi sebuah realiti ? Atau cuma ada satu penjelasan yang tepat saja yakni penjelasan daripada sains. Seperti isu kehidupan. Kewujudan itu wujud sama ada dicipta atau ia berevolusi. Maknanya alam semesta ini sama ada diatur oleh sebuah hukum fizikal atau atau dikuasai oleh sebuah kuasa spiritual. Bagi mereka yang tidak mahu melihat ketegangan antara kalangan sains dan agama maka mereka menerima yang Tuhan yang mencipta alam semesta mengikut speksifikasi tertentu dan alam semesta terus berkembang mengikut speksifikasi itu. Tuhan menjadi metafora bagi hukum alam semesta itu dan sains cuba untuk menghuraikan hukum alam semesta itu. Namun ada satu perkara yang harus diperhatikan agar tidak terkeliru yakni menerima alam semesta seperti yang dikaji berbeza daripada menerima alam semesta seperti yang kita ingini.
Bagi para saintis kajian sains adalah untuk menggantikan ajaran agama dengan teori-teori yang boleh ditentusahkan dan untuk berpura-pura sebaliknya adalah satu penipuan diri sendiri. Para saintis sedang di ambang mencari dan membina sebuah teori lengkap yang dinamakan sebagai teori terakhir ( final theory ) untuk alam semesta, jika berjaya akan memberi satu pemahaman yang lengkap akan alam semesta dan segala-galanya di dalamnya.
Teori sains telah berkembang begitu pesat sehingga kemajuan seterusnya memerlukan pengajian akan proses-proses tenaga yang tidak dapat dijangkau oleh manusia dengan kemudahan-kemudahan eksperimen yang sedia ada pada masa kini. Kemajuan sains untuk memerikan tabii sejak daripada teori mekanik kuantum yang menggantikan teori zarah dengan kedudukan dan kelajuan tertentunya kepada teori fungsi gelombang dan keberangkalian dan seterusnya muncul pula prinsip-prinsip simetri yang masih belum sepenuhnya dibina. Namun teori akhir yang akan menyatukan semua teori fisikal tetap akan diburu untuk memerikan segala dalam alam tabii di alam semesta ini. Impian untuk membina sebuah teori terakhir tidak bermula pada abad ke-20. Sebenarnya keazaman untuk mencari teori terakhir telah bermula satu abad sebelum lahirnya Socrates di kota Miletus. Ada bukti sejarah menunjukkan bahawa warga Miletus (Milesians) telah mencari penjelasan akan semua fenomena alam tabii daripada aspek asal-usul asasi jirim. Bagi idea moden apa yang dimaksudkan dengan penjelasan saintifik harus memenuhi : pemahaman kuantitatif akan sesebuah fenomena. Bagaimana kita maju ke arah memahami kenapa atau tabii seperti yang kita lihat itu. Sebagai contoh sains percaya yang atom-atom bertindak dalam sesuatu tindak balas kimia adalah kerana prinsip fisikal yang mengatur elektron dan daya elektrik di dalam atom-atom itu. Prisip itu atau hukum alam tabii yang mengatur atom-atom itu dan hukum tabii itu tidak akan memberi kebebasan atom-atom itu bertindak berlainan daripada yang sepatutnya.
Penemuan teori terakhir bukan bererti berakhirnya sains. Malahan penyelidikan sains sama ada sains tulen mahupun sains fisikal tetap akan berterusan. Sebuah teori terakhir yang akan menyatukan semua daya asas seperti daya graviti, daya elektromagnetisme, daya nuklear kuat dan daya nuklear lemah jika ditemui akan menamatkan carian purba yang sebelum ini tercari-cari akan prinsip-prinsip yang tidak mungkin dapat dikupaskan oleh kalangan agama.
Namun akan muncul pelbagai persoalan yang para saintis tidak upaya menjawabnya seperti : Apa itu kewujudan ? Kenapa ada sesuatu dan tidaknya kosong ? Bagaimana jirim yang tidak bernyawa itu boleh menyusunatur dirinya dan menghasilkan kewujudan ? Sudah tentunya jawapan sedemikian berada di luar alam sains atau alam material.
Dengan itu kita kembali semula pada premis sains dan agama. Sains dan agama dibangunkan pada platform kepercayaan dan andaian. Tiada siapa sehingga kini dapat membuktikan alam semesta ini bersifat matematikal semata-mata atau hukum yang boleh dipakai di dunia boleh diaplikasikan pada benda seperti kuasar yang jauh itu atau pada detik awal mulanya masa. Pertanyaan begitu menjadi rukun asas pada mereka yang percaya pada kuasa ghaib.
Namun bagi kalangan sains kewujudan dunia realiti adalah rukun dan adalah mustahil untuk meneruskan tindakan selanjutnya tanpa dunia realiti. Seorang saintis telah membicarakan salah satu misteri alam semesta yang begitu lama tidak dapat dihuraikan : adanya kebetulan-kebetulan kosmologikal yang amat mempersonakan itu memungkinkan kewujudan kehidupan. Andainnya malar-malar fizikal tertentu itu mempunyai nilai yang sedikit berlainan, bintang-bintang tidak mungkin terbentuk untuk menghasilkan atom-atom yang seterusnya membina molekul biologi. Sejak awal abad lalu sebahagian pencari kebenaran telah mengambil hujah ini sebagai alasan untuk mempercayai yang alam semesta dicipta dengan mengambilkira manusia sebagai pemain utama dalam mencorakkan tamadun dan digniti kemanusiaan.
Di samping itu seseorang itu bebas untuk mempercayai sebaliknya : yakni kebetulan-kebetulan cuma menunjukkan yang kehidupan itu sebenarnya adalah sebuah kebetulan yang amat luar biasa.Tatkala sains terus memperlengkapkan huraiannya tentang alam semesta atau dunia fizikal setiap pertanyaan yang dijawapi akan terus mengundang lebih banyak persoalan baru yang lain. Maka itu akan sentiasa ada misteri dan seterusnya satu kekosongan atau lohong dalam pengetahuan manusia dan lantas itu kekaguman agama akan berperanan semula.
Bagaimanapun ada perbezaan pendekatan antara sains dan agama dalam bidang astronomi. Perihal astronomi dari kacamata sains berakar pada kajian, ujian dan penerokaan saintifik dengan kata lain mereka bergantung pada data untuk menilai perihal kosmos.
Sementara ajaran agama cuma memberi satu gambaran yang kewujudan kosmos adalah satu petanda akan kebesaran Sang Khalid. Misalnya dalam al-Quran ada beberapa ayat lagi yang menyentuh tentang astronomi dan jika dikupas secara falsafah memang menunjukkan adanya satu kuasa besar yang mengatur alam semesta yang bukan saja luas tapi juga indah. Lihat ayat dari surah Adz-dzariat : 47, Fathir : 41, Al-anbiya ; 30 yang maksudnya berkaitan dengan evolusi alam semesta.
Dari perpektif kuantiti, agama tidak dapat memberi gambaran betapa besarnya alam semesta kita sedangkan pakar sains dalam bidang astronomi boleh menyatakan kuantiti ( quantify ) melalui formula kompleks matematik perihal alam semesta misalnya kelajuan cahaya, saiz bintang, komet, tarikan magnet, kuasa graviti dan sebagainya. Sebagai contoh sains dapat mengira berapa jauh sebuah perjalanan satu tahun cahaya yakni 9 trilion kilometer. Di samping itu juga sains melalui ilmu fizik dan ilmu astronomi dapat membentangkan hasil kajian mereka secara kuantitatif. Sebuah contoh lagi sains boleh menyatakan untuk sekian sekian masa tertentu suhu dan kepadatan dan komposisi kimia alam semesta akan sekian sekian nilainya. Benar bukan muktamad pernyataan-pernyatan itu namun para saintis boleh membicarakan perkara demikian dengan penuh keyakinan. Saintis boleh juga mengira kelajuan sebuah bintang itu bergerak misalnya bintang Barnard bergerak pada kadar 2.8 ribu juta kilometer setahun !
Malahan para saintis astronomi sedang dalam proses memiliki sebuah teori yang dapat memberi semua huraian tentang misteri alam.Secara umumnya astronomi adalah kajian mengenai bintang dan planet, asal usulnya, permulaan masa, tarikan graviti dan sebagainya. Para saintis seolah-olah boleh menghuraikan apa saja hukum alam yang bersangkutan dengan astronomi malahan apabila teropong generasi ke-2 yang diluncurkan pada tahun 2005 dulu telah membolehkan kita melihat imej peninggalan detik ketika terjadi Big Bang. Ini satu kemajuan besar dalam perkembangan bidang astronomi. Namun ia masih bergantung pada data yang ditinggal oleh kesan-kesan Big Bang. Rumusan yang dibuat mungkin tidak seratus peratus muktamad apatah lagi fenomena Big Bang sudah berlaku 13.7 bilion tahun yang lalu.
Mengikut pendapat sains segalanya di alam semesta bermula daripada Big Bang. Dari Big Banglah mula pembentukan jisim sub atomik, elektron, helium, hidrogen dan seterusnya molekul dan dan akhirnya selama 13 bilion tahun maka wujudlah alam semesta yang kita kenali sekarang yang mempunyai berbilion galaksi, bertrilion bintang dan planet-planet yang tersebar luas di luar sistem suria kita.

APAKAH TUJUAN KEHIDUPAN MANUSIA ?

Memang dari satu segi kita terpesona dengan perkembangan sains astronomi namun ada satu persoalan yang ahli sains selalu menjauhi atau tidak mampu menjawab dengan memuaskan. Persoalannya : Apakah tujuan hidup manusia ? Manusia yang dari kaca mata sains berasal dari proses evolusi berbilion tahun yang lalu akibat dari letupan Big Bang. Apakah manusia terus hidup tanpa pedoman dan bolehkah manusia terus hidup tanpa pedoman ? Apakah manusia sains akan terus mengkaji, meneroka dan membuat ramalan demi ramalan seperti Stephen Hawking bagaikan tiada titik nokhtahnya ? Inilah satu titik perbezaan antara sains dan agama. Sedangkan dalam al-Quran manusia diberitahu dengan jelas bahawa ianya dijadikan semata-mata untuk menjadi khalifah dan sujud pada Sang Penciptannya. Manusia harus mengguna sumber-sumber alam untuk kebaikan hidup manusia yang memberi kesejahteraan hidup berkualiti. Jika manusia tidak endahkan tujuan hidupnya maka sia-sialah kewujudannya.
Agaknya hidup manusia akan bercelaru jika manusia tiada pedoman atau pegangan hidup maka ada kata-kata hikmah dari seorang saintis ulung yang pernah manusia memiliki dalam sejarah tamadunnya iaitu Albert Einstein seperti bermaksud lebih kurang begini : Sains tanpa agama akan kehilangan falsafah tujuan hidupnya dan agama tanpa sains akan membuat taksub pada khayalan.


KESIMPULAN

Mungkin perlu satu keseimbangan. Soalnya bolehkah sains dispiritualkan dan agama disainskan ? Atau kedua-duanya memang dua polar yang tidak akan boleh berkompromi ? Sains mempercayai evolusi sementara agama mempercayai ciptaan. Bagi sesetengah saintis mereka berpendirian yang apa-apa yang wujud itu tidak mempunyai sebarang erti atau tujuan . Mereka cuma menerima undang-undang tabii seperti yang ditemui oleh mereka sebagai yang wujud. Undang-undang tabii inilah yang akan menentukan apa akan terjadi dari satu masa ke satu masa yang lain. Dengan lain perkataan mengikut fahaman saintis-saintis ini sejak dari peristiwa Big Bang sehingga sekarang dan sehingga leburnya alam semesta, undang-undang tabii ini yang akan menentukan segal-galanya. Malahan beberapa saintis mengatakan dengan adanya ketidaktentuan asas yang tersirat dalam undang-undang tabii ini ( mengikut pada Prinsip Ketidaktentuan Heisenberg yang tersohor itu) terdapat satu ketidaktentuan atau kerambangan yang tersirat di dalam setiap proses atau fenomena yang berlaku di alam semesta.
Mengikut piawaian Tafsiran Copenhagen mengenai mekanik kuantum, sesebuah sistem fisikal itu tidak boleh diterima sebagai mempunyai sebarang nilai tepat bagi kuantiti-kuantiti seperti kedudukan atau tenaga atau momentum sehingga kuantiti-kuantiti itu diukur oleh beberapa alatan pemerhati. Bagi sesetengah saintis satu jenis kehidupan cerdas ( intelligent life ) adalah perlu untuk memberi makna pada mekanik kuantum, malahan kehidupan cerdas itu bukan sahaja harus muncul tetapi harus berada di semua pelosok dalam alam semesta supaya setiap maklumat tentang keadaan fisikal alam semesta harus diperhatikan. Pendeknya sains harus tumpu pada perkara yang boleh diperhatikan. Bagaimanapun ada saintis lain yang melihat mekanik kuantum daripada segi fungsi gelombang yang boleh memerikan makna dan pemahaman sama juga atom dan molekul yang diikat oleh hukum tabii yang tidak bergantung sama ada adanya pemerhati atau tidak.
Natijah muktamad yang para saintis ini ialah walaupun sebagai manusia mereka tiadak mempunyai tindakan bebas ( free will ) atau pilihan pribadi dalam tindak-tanduk mereka. Apa saja yang kita lakukan akan berlaku secara rambang! Satu lagi pendirian yang diambil oleh banyak saintis termasuk Albert Einstein ialah adanya tujuan yang tersirat dalam setiap perkara yang wujud atau fenomena yang berlaku. Pernyataan terkenal beliau yang “ Tuhan tidak memperjudikan alam semesta “ mencabar pendirian ketidaktentuan atau rambangnya undang-undang tabiii alam semesta seperti yang dicadangkan oleh Profesor Niels Bohr yang menyokong Copenhagen Interpretation. Banyak saintis seperti Einstein tidak saja melihat adanya makna dalam undang-undang tabii tetapi juga terdapat keindahan yang amat besar dalam banyak perkara yang berlaku dalam alam semesta. Pandangan Einstein seakan-akan selari dengan pandangan yang tersurat dalam al-Quran. Mengikut Stephen Hawking seorang ahli saintis tersohor dan sehebat Einstein dalam abad ini pula menganggap bahawa segala prinsip dan hukum tabii yang indah itu bagaikan minda Tuhan.


Rujukan
George Johnson " Faith and science : Is there common ground ?" International Herald Tribune, July 2, 1998, p. 22
Glanz, James “ Physicist ponders God, truth and ‘ a final theory “ New York Times, January 25, 2000Johnson, George “ Science and religion : Bridging the great divide “ New York Times, June 30, 1998
Weinberg, Steven ( 1992 ) Dreams of a final theory, New York, Pantheon Books.
Bucaille, Maurice ( 1984 ) Bible, Quran dan sains moden, Kuala Lumpur, Thinker’s Library
Baharuddin Yatim ( 1989 ) Sains menurut perspektif Islam, Bangi, Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Thaha Ahmadie ( 1983 ) Astronomi dalam Islam, Surabaya, PT Bina Ilmu
Weinberg, Steven ( 1977 ) The first three minutes : A modern view of the origin of the Universe, London, Deutch.
Hawking, Stephen W ( 1988 ) A brief history of time : from the Big Bang to balck holes. London, Bantam Books

Catatan :// Makalah ini pernah tersiar dalam majalah PEMIKIR. Penulis, Encik Ramli Abdul Samad merupakan bekas Pustakawan Kanan di USM, Pulau Pinang yang juga pelopor penulisan sains popular di Malaysia.

View the full article





1 user(s) are reading this topic

0 members, 1 guests, 0 anonymous users